Monday, 2 July 2012

Puisi Buat Papa

Assalamualaikum w.b.t.
Saya suka menulis puisi kerana saya dapat meluahkan espresi perasan saya melalui penulisan. Karya ini sy tujukan buat papa tersayang. Khairuddin bin Jauhar. Adik sayang papa kerana Allah s.w.t.

Papa,
Sinar redup matamu
Bagai angin menghembus ke pipi,
setenang air berombak lembut,
terbuai dalam angan manis,
bersama kasihmu,
bersama sayangmu,
bersama sejuta cinta tak pernah sepi...

Papa,
Kemanisan senyumanmu,
Umpama madu berperisa gula,
Laksana sang lebah menanti bunganya,
Merenjis halwa semanis kurma,
Tak kan kering,
Tak kan pudar,
Meruntun damai sukma jiwa....

Papa,
Genggaman tanganmu,
Seutuh cinta Shah Jahan pada Mumtaznya,
Seteguh tembok China menangkis gelora,
Meresap sayup menujah kalbu,
Mewarnai semula taman nan syahdu...

Papa,
Alun radangmu,
Membadai tika khilaf menjelma,
Nescaya pokok kan goyang,
Saat angin meredah ke pantai,
Bukan niat mencaciku,
Bukan mahu membenciku,
Kerna ilham kasih bertaut,
Sinar teguran jadikan penawar... 

Papa,
Lembayung kesabaranmu,
Memukau sanubari,
Tak terbanding emas permata,
Tak tercipta duka nestapa,
Hatta menangkis kecewa alpa,
Terima rela ujian pencipta...

Papa,
Derita kesakitanmu,
Umpama barah merobek hati,
Mengundang pilu bertalu-talu,
Lalu doa pinta disembuh,
Bersama alunan ayat-ayat Furqan,
Jua bibit-bibit zikrullah,
Berbisik merdu ke jasad sayu.

Papa,
Mungkin kini semua berubah,
Bagai mimpi bersulam duka,
Yang tinggal....
Kerdipan mata seribu makna,
Luntur senyuman nan memudar warna,
Meroboh tembok genggaman cinta,
Hanya air mata merungkai hiba...

Papa,
Ku titip puisi ini buatmu,
Engkaulah satu dalam hatiku,
Cintaku,
Kasihku,
Syurgaku,
Hanya Allah tempatku mengadu, 
Doa mengiringi air mata kusapu....

Kenangan manis kita, takkan adik lupakan ;)

Semoga Allah s.w.t sentiasa memberi perlindungan dan kesembuhan pada papa  ;)
Sabar pa!

No comments:

Post a Comment