Sunday 18 November 2012

Ulang Tahun Perkahwinan ke- 39!

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Mabruk buat kedua ayahanda dan bonda ana yang tercinta atas ulang tahun perkahwinan mereka yang ke- 39 tahun. Syukur kepada Allah s.w.t atas rahmatNya sehingga hari ini, cinta dan kasih sayang papa dan ibu sebagai suami isteri mekar sehingga keusia emas. Bukan umur jadi ukuran namun kualiti kebersamaan, ketaqwaan, kebahagiaan dan kesetiaan antara papa dan ibu adalah lambang sebuah keluarga mawaddah warahmah.

Tiga puluh sembilan tahun, suatu masa yang panjang. .Banyak kenangan manis dan onak dirempuh bersama-sama untuk membesarkan seorang hero soleh  dan enam heroin solehah. Berkat kesabaran dan ketabahan, anak-anak papa dan ibu membesar dengan sihat dan berjaya. Pejam celik, pejam celik  setahun lagi menjangkau ke usia empat puluh tahun perkahwinan.. Adik sangat mengkagumi kemesraan antara papa dan ibu yang tercipta atas dasar kasih sayang dan hormat menghormati. Sungguh bertuah adik menjadi anak kepada papa dan ibu. Alhamdulillah.

Jika dihitung dengan emas pertama, tiada yang dapat menjadi galang ganti berharganya papa dan ibu buat adik.

Jika dikira penat lelah menjaga papa dan ibu, tiada sedikit pun bernilai peluh adik yang menitik berbanding kesusahan dan kesabaran papa dan ibu untuk membesarkan adik.

Jika dibandingkan kasih sayang adik pada papa dan ibu, tiada apa yang boleh disamakan umpama langit dan bumi curahan kasih sayang papa dan ibu kepada adik.

Ya Allah, Redhailah papa dan ibu ku dan Rahmatilah kedua mereka.
Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat kedua ibu bapa yang Engkau anugerahkan sehingga kini aku masih mampu menatap muka dan mencium mereka.

Ya Allah, Kasihilah papa dan ibu, sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.
Ya Allah, aku sayang mereka kerana Mu, ketemukanlah kami nanti di syurga firdausi...

Amin Ya Rabbal A'lamin

Kek Indulgence buat Ibu tersayang


Keluarga Khairuddin dan Kamaliah


No comments:

Post a Comment